ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN DALAM MENJAYAKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN MALAYSIA
Rosmiza Nor Hasmadi
Malaysia telah berada pada landasan yang betul dan asas
yang kukuh untuk memacukan pendidikan dalam menyaingi negara-negara maju. Namun
tidak dinafikan, terdapat banyak isu dan cabaran yang perlu ditempuh dalam
menjayakan transformasi pendidikan di Malaysia. Mari kita kupas sepuluh isu serta
cabaran ini dengan lebih lanjut.
Cabaran
dan isu yang utama dalam menjayakan transformasi pendidikan ini ialah sistem
pelajaran masa kini hanya berfokuskan kepada peperiksaan dan pencapaian
semata-mata. Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan
telah menyukarkan perkembangan potensi murid.
Cabaran
dan isu yang seterusnya ialah pendidikan yang berterusan serta tiada
kesinambungan. Pembelajaran kini sangat terhad dengan sistem
pembelajaran yang agak membebankan dengan jadual waktu, bilik darjah, kawasan
sekolah dan peraturan sekolah.
Cabaran
dan isu yang ketiga ialah pendidikan yang bersepadu. Di sekolah,
murid-murid mempelajari mata pelajaran secara terpisah. Hai ini menyebabkan
murid-murid tidak dapat mengadaptasikan kefahaman tentang isu-isu serta
penyelesaiannya dengan baik.
Cabaran
dan isu yang keempat ialah dari aspek kesejahteraan dan kemakmuran.
Pendidikan kini yang amat menggalakkan bahkan mementingkan persaingan
menyebabkan hilangnya semangat kerjasama dan tolong-menolong dalam kalangan
pelajar. Keadaan ini lebih parah apabila pihak guru dan ibu bapa tidak
berkomunikasi dengan baik bagi bersama-sama menyelesaikan serta membantu
pendidikan murid.
Penggunaan
bahasa pengantar juga merupakan salah satu cabaran dan isu pendidikan
yang tidak asing lagi di Malaysia. Penggunaan bahasa pengantar yang berbeza
mengikut jenis sekolah, tamsilnya SJK(C) dan SJK(T), sedikit sebanyak telah
mengurangkan penguasaan terhadap bahasa Malaysia.
Cabaran
dan isu yang lain termasuklah kewujudan sekolah vernakular.
Pemisahan murid mengikut jenis sekolah telah membentuk satu tanggapan yang
dalam diam telah menjarakkan integrasi kaum. Justeru, bahasa Melayu yang
diangkat sebagai bahasa pengantar masih tidak dimartabatkan dalam sistem
pendidikan vernakular.
Bukan
itu sahaja, pembelajaran kini yang bertujuan untuk lebih mengetahui
perkara berkaitan akademik juga merupakan cabaran dan isu pendidikan.
Pendidikan yang terlalu berorientasikan akademik dan terikat dengan silibus
hanya bergantung kepada satu sumber, iaitu buku teks. Hal ini akan mematikan
keseronokkan untuk belajar.
Cabaran
dan isu pendidikan yang lain adalah pembelajaran yang menfokuskan untuk
peningkatan kemahiran. Sebagai tamsil, ilmu dan kemahiran yang tidak bersepadu
dek kerana amalan rutin serta peraturan yang telah mengekang perkembangan
kemahiran pelajar. Maka, tidak hairanlah guru gagal untuk mencungkil bakat
serta potensi yang dimiliki oleh murid-murid.
Pelajaran yang dijadikan sebagai panduan untuk
mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna dan baik juga merupakan cabaran dan isu pendidikan
masa kini. Pengasingan murid mengikut pencapaian telah mewujudkan satu jurang yang tidak baik dalam
kalangan mereka. Mereka pasti akan merasa kurang yakin dengan kebolehan diri
lalu cepat berputus asa dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Jadi, pengasingan
murid amatlah sesuatu yang tidak wajar dilakukan kerana ianya hanya akan
membataskan sosialisasi serta sikap toleransi dalam kalangan murid.
Cabaran
dan isu yang terakhir ialah berkait dengan ilmu pengetahuan yang diguna
pakai sebagai medium bagi menjamin kesejahteraan hidup. Pendidikan yang
berfokuskan terhadap akademik dalam tak sedar telah menghapuskan penerapan
nilai-nilai murni dalam PdP. Kemesraan dan kesantunan yang dikecapi dalam
kalangan masyarakat juga semakin pudar kerana kurangnya amalan nila dalam
kehidupan harian.
Isu-isu serta cabaran pendidikan yang muncul ini telah
menyukarkan bagi menjayakan proses transformasi pendidikan di Malaysia. Isu
yang disebabkan salah faham dan salah tafsir dari kalangan masyarakat telah
menyukarkan usaha untuk merealisasikan hasrat yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
Tepuk dada tanya selera!
Comments
Post a Comment